CLICK HERE FOR THOUSANDS OF FREE BLOGGER TEMPLATES »
Selamat Datang Sukosensei Blog. Laman blog ini khusus untuk pelajar-pelajar STPM yang mengambil Mata Pelajaran Sejarah STPM Kertas 2 atau 940/2. Semoga Anda mendapat manafaat daripada blog ini.
STPM SEMAKIN HAMPIR ULANGKAJI DAN FOKUS KEPADA NOTA RINGKAS 'SPOT QUESTION' NEXT WEEK .GAMBATTE KU DASAI
sukosensei

Anda juga boleh meneroka , menjelajah dan memperolehi maklumat dari laman web sukosensei.com.

Visit sukosensei



Counters
sukosensei.com

STPM SEMAKIN HAMPIR GAMBATTE KUDASAI

Thursday, March 19, 2009

HURAIKAN FAKTOR – FAKTOR PENYERAHAN NEGERI – NEGERI MELAYU, PERLIS, KEDAH, KELANTAN DAN TERENGGANU KEPADA PENTADBIRAN TENTERA THAILAND PADA TAHUN 1943

Bermula sejak tahun 1938, negara Thailand dan Jepun telah membuat satu pakatan. Jepun telah membuat pakatan dengan kerajaan Thailand sebelum melancarkan serangan ke atas Tanah Melayu[1]. Perdana Menteri Thailand, Phibun Songkram yang mendapat sokongan penuh daripada Parlimen percaya kerjasama dengan Jepun amat penting bagi mendapatkan semula tanah jajahan Thailand yang diserahkan kepada Indo – China. Perdana Menteri Thailand, Phibun Songkram yang mendapat sokongan penuh daripada Parlimen percaya kerjasama dengan Jepun amat penting bagi mendapatkan semula tanah jajahan Thailand yang diserahkan kepada Indo – China. Dengan itu, secara rahsia pada Oktober 1940, Phibun Songkram telah membenarkan Jepun meyerang Tanah Melayu melalui Thailand. Keputusan Phibun Songkram ini turut dipengaruhi oleh kekalahan Peranchis di tangan Jerman. Hasil daripada pakatan ini, pada bulan Mac 1941, pejabat consular Jepun telah dibuka di Songkla.[2] Setelah mentadbir beberapa tahun, pada tahun 1943, kerajaan tentera Jepun mengambil langkah untuk memindahkan pentadbiran negeri – negeri Melayu utara iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada kerajaan Thailand.[3] Pada 5 Julai 1943, Perdana Menteri Tojo yang melawat Bangkok dan Perdana Menteri Thailand, Phibun Songkram telah membuat pengistiharan bersama bahawa kerajaan Thailand akan menyerahkan kembali wilayah Thailand yang hilang dulu.[4] Oleh yang demikian, pada 20 Ogos 1943, kerajaan Thailand dan kerajaan Jepun menandatangani satu perjanjian di Bangkok yang mana ia mencatatkan bahawa kerajaan Jepun akan meyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan kawasan Kengton dan Mongpan dalam wilayah Shan di Burma kepada Thailand.[5] Terdapat beberapa faktor penyerahan negeri – negeri Melayu utara kepada kerajaan Thailand. Penyerahan negeri – negeri Melayu utara kepada kerajaan Thailand boleh dikatakan sebagai pengembalian semula negeri - negeri ini kepada Thailand selepas diambil alih oleh kerajaan British di dalam Perjanjian Bangkok. Pada mulanya Siam menguasai negeri – negeri Melayu utara. Bagaimanapun, negeri – negeri Melayu utara enggan mengiktiraf kekuasaan Siam ke atas mereka. Di samping itu pula, Siam sentiasa menghadapi masalah demi masalah berhubung dengan negeri – negeri Melayu utara.[6] Peperangan dan penentangan sering berlaku. Menjelang tahun 1904, Kedah sering menghadapi masalah kewangan yang genting. Kedah berharap Siam akan dapat mengatasi masalah itu, tetapi Siam gagal menyelesaikannya.[7] Dengan ini rundingan diadakan dengan British yang akhirnya menghasilkan Perjanjian Bangkok yang ditandatangani pada 9 Julai 1909.[8] Antara syarat – syarat terpenting di dalam Perjanjian Bangkok ialah : i. Keempat – empat negeri – negeri Melayu utara itu termasuklah pulau berhampiran yang berada di bawah kekuasaan keempat – empat negeri itu diserahkan kepada kekuasaan British. ii. Siam bersetuju tidak akan menyewa mana – mana kawasannya kepada sebarang kuasa asing tanpa mendapat kebenaran daripada kerajaan British. iii. British menggunakan wang daripada Negeri – negeri Melayu Bersekutu untuk menyelesaikan hutang piutang negeri – negeri Melayu utara. iv. Pihak British tidak akan campur tangan dalam hal ehwal tanah jajahan Siam yang lain.[9] Bagaimanapun ketika Jepun mula – mula hendak menyerang Tanah Melayu, Thailand dianggap sebagai memihak kepada pihak Berikat dan akan menentang Jepun. Tetapi kerajaan Jepun telah dapat mengubah sikap kerajaan Thailand dengan menjanjikan bahawa Jepun akan menyerahkan negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepadanya sekiranya kerajaan Thailand tidak menentang Jepun dan membenarkan tenteranya melalui bumi Thailand untuk menyerang Tanah Melayu.[10] Apabila Jepun berjaya menakluki Tanah Melayu, Jepun telah mengembalikan negeri – negeri Melayu utara kepada Thailand selepas berjaya mencapai matlamat mereka. Oleh itu dapatlah dianggap penyerahan negeri – negeri ini sebagai pengembalian semula tanah wilayah kepada Thailand selepas diambil alih oleh British melalui Perjanjian Bangkok. Pemindahan pentadbiran negeri – negeri Melayu utara ini juga berkait rapat dengan pertolongan dan kerjasama kerajaan Thailand kepada tentera Jepun melancarkan serangan ke atas Tanah Melayu pada akhir tahun 1941.[11] Tentang kenapa Jepun menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dapat dilihat daripada Pemberitahuan Kerajaan Terengganu bilangan 12 bertarikh 7 Julai 2603 yang berbunyi ; “sebabnya itu semata – mata menurut perikatan persahabatan yang baik di antara negeri Dai Nippon dan negeri Thailand dan supaya membalas budi kepadanya yang berusahakan dirinya kepada pekerjaan pendirian Lengkongan Kemakmuran Asia Timor Raya dan lagi menurut semangat supahan Nippon supaya menguatkan lagi di atas asas pekerjaan pendirian Lengkongan Kemakmuran Bersama Asia Raya”[12] Alasan tersebut menunjukkan kerajaan Jepun mematuhi janji mereka pada tahun 1941 dan sebagai tanda ucapan terima kasih kepada kerajaan Thailand kerana membenar memberi kerjasama kepada Jepun ketika mereka melancarkan serangan ke atas Tanah Melayu.[13] Dalam perjanjian ini, Thailand dan Jepun berazam hendak bekerjasama dengan rapat menjalankan peperangan yang sama melawan Amerika Syarikat dan empayar British hingga berjaya dan menubuhkan Lingkungan Asia Timur Raya yang berasaskan keadilan.[14] Selain daripada itu, motif lain penyerahan negeri – negeri Melayu utara kepada kerajaan Thailand adalah kerana Jepun ingin mengurangkan kawasan pemerintahan mereka. Ini kerana Jepun mahu mengurangkan tenaga kerjanya agar boleh digunakan bagi kempen ketenteraan di Myammar. Manakala arus perang Pasifik pula nampaknya telah menggugat keupayaan Jepun untuk mengawal kawasan yang luas. Sungguhpun Tanah Melayu telah ditakluki oleh Jepun tetapi peperangan dengan pihak British dan Amerika Syarikat terus berlaku di Kepulauan Pasifik, New Guinea dan sempadan Burma – India.[15] Penyerahan negeri – negeri Melayu utara terpaksa dibuat sebagai usaha untuk terus mengongkong Siam dalam pakatan ketenteraan. Pada pendapat saya, langkah Jepun ini adalah lebih memihak kepada diri Jepun sendiri di mana jika terdapat kewujudan penentangan dari negeri – negeri Melayu utara, Siam boleh diarahkan untuk menyelesaikan masalah itu tanpa melibatkan penglibatan Jepun secara lansung. Ini juga kerana walaupun Jepun telah menyerahkan pentadbiran negeri – negeri Melayu utara kepada Siam, tetapi Jepun masih lagi mempunyai kekuasaan ke atas beberapa aspek pentadbiran. Walaubagaimanapun tindakan ini ditentang oleh ahli – ahli politik Jepun yang dianggap bertentangan dengan dasar penjajahannya. Bagaimanapun dari segi hubungan diplomasi, penyerahan negeri – negeri Melayu utara adalah untuk menguatkan hubungan antara Jepun dengan Thailand. Perdana Menteri, Phibun Songkram melihat penyerahan pentadbiran ini adalah sebagai suatu kemenangan diplomasinya kerana dapat mengembalikan semula wilayah yang diambil oleh British walaupun negeri – negeri Melayu utara tidaklah penting dari segi strategi berbanding dengan kawasan Laos dan Kemboja. Selain daripada itu, Jepun juga memerlukan persahabatan dengan Thailand untuk keselamatan tentera Jepun. Ini kerana Thailand telah membenarkan Jepun melalui negaranya untuk melakukan serangan ke atas Tanah Melayu. Malahan Jepun berjaya memujuk Perdana Menteri Thailand untuk membenarkan Jepun mendarat di Patani, Songkla. Oleh itu, pada bulan Mac 1941, pejabat consular Jepun telah dibuka di Songkla.[16] Berikutan itu, pada Julai 1941, Jepun telah memasuki Indo – China dan menguasainya pada Disember 1941.[17] Malahan terdapat Ketumbukan Tentera Kawalan Diraja dan Ketumbukan Ke 5 tentera Jepun di Thailand. Oleh itu, hubungan baik Jepun dengan kerajaan Thailand telah memberi kelebihan kepada Jepun untuk menakluki Tanah Melayu. Di samping itu, Jepun juga telah mengembalikan semula wilayah Thailand yang telah diambil oleh British dalam Perjanjian Bangkok. Dengan ini dapat dinyatakan bahawa penyerahan pentadbiran negeri – negeri Melayu utara kepada kerajaan Thailand dilihat sebagai suatu usaha Jepun untuk terus mendapat kerjasama daripada kerajaan Thailand di dalam kempen ketenteraannya untuk meluaskan kuasanya. Bagaimanapun seorang pemerhati tempatan menyatakan penyerahan pantadbiran negeri – negeri Melayu utara kepada kerajaan Thailand adalah kerana Jepun tidak mampu mengawal seluruh Tanah Melayu. Ini dapat dilihat dengan adanya kapal B 29 di ruang angkasa Kedah tanpa ada sebarang tindak balas daripada Jepun. Malahan dua buah kapal selam pihak Berikat juga sering dilihat muncul di kawasan Kuala Kedah.[18] Apabila kita membincangkan mengenai pemindahan pentadbiran negeri – negeri Melayu utara iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, kita seharusnya juga melihat kesan – kesan akibat penyerahan negeri – negeri Melayu utara ini. Masyarakat memberikan reaksi yang berbeza terhadap penyerahan negeri – negeri Melayu utara terhadap Thailand. Di Terengganu misalnya, perpindahan pentadbiran Terengganu ini dibantah oleh sekumpulan rakyat yang tidak berpuas hati. Mereka berpendapat yang mereka sesuai dengan perjalanan dan pemerintahan Jepun.[19] Bagaimanapun kalangan buruh – buruh pula berpendapat bahawa mudah untuk mendapatkan pekerjaan dan wang. Ini kerana terdapatnya peluang pekerjaan yang banyak.[20] Ada juga yang berpendapat sementara peperangan dan negeri belum aman adalah lebih sesuai negeri Terengganu diletakkan dibawah pentadbiran Jepun. Ini kerana ada pegawai – pegawai Melayu yang sudah memahami perjalanan pentadbiran Jepun serta sudah dapat membantu pegawai – pegawai Jepun menjalankan pekerjaan. Selain itu, Jepun juga memberikan kebebasan kepada agama dan adat Melayu.[21] Bagaimanapun Mufti Kerajaan Terengganu telah mengajukan surat kepada Sultan Ali bertarikh 18 Julai 1943 yang menyatakan adanya perasaan kurang senang dengan perpindahan negeri Terengganu kepada pentadbiran Thailand. Mufti menyatakan yang ramai berpendapat Terengganu akan mengalami kerugian besar akibat perpindahan pentadbiran tersebut kerana pentadbiran tentera Jepun membantu yang daif dan mewujudkan Kemakmuran dalam Lingkungan Timur Asia Raya.[22] Namun begitu, negeri – negeri Melayu utara yang lain pula memperlihatkan reaksi yang berbeza. Kedah misalnya menyambut baik perubahan kuasa ini. Ini kerana mereka berasa lebih senang kerana pentadbiran telah kembali kepada pihak awam. Perubahan kuasa ini memberi kebebasan bergerak yang lebih kepada rakyat. Rakyat tidak lagi merasa diancam oleh pihak tentera Jepun. Pegawai – pegawai Thailand pula memberikan perintah supaya menjalankan pentadbiran masing – masing seperti asal sebelum kedatangan Jepun. Walaupun pentadbiran diambil alih oleh tentera Thailand dan berpusat di Alor Setar tetapi kuasa tentera Jepun masih berterusan. Misalnya Jepun masih lagi mengawal keretapi Kedah dan Perlis manakala Thailand mengawal Kelantan. Sementara Jepun masih mengawal lagi perkhidmatan telefon dan pos.[23] Kesan penyerahan yang seterusnya ialah pengembalian kuasa Sultan. Pemerintah tentera Thailand mengambil keputusan memulangkan kembali pentadbiran kepada Sultan dan pegawainya.[24] Pada 17 Disember 1943, kerajaan Thailand membuat persiapan untuk menyerahkan pentadbiran negeri Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Sultan masing – masing.[25] Sultan akan menjadi ketua negeri dan Pesuruhjaya Tentera Thai sebagai penasihat. Pentadbiran di dalam negeri diserahkan kepada Sultan dan Majlis Montri Sapha atau Mensyuarat Negeri untuk menguruskannya.[26] Dengan kuasa yang diberikan kepada Sultan telah meletakkan baginda di atas sekali di dalam pentadbiran negeri. Keadaan ini berbeza sekali semasa dibawah pemerintahan Jepun. Pada masa itu, Sultan tidak mempunyai kuasa dan hak ke atas pentadbiran di dalam negeri kecuali dengan perkara – perkara yang berhubungan dengan agama Islam dan adat istiadat Melayu.[27] Selain daripada itu, kesan penyerahan yang lain ialah berlakunya perubahan pentadbiran daripada pentadbiran tentera Jepun kepada pentadbiran tentera Thailand. Pentadbiran empat buah negeri akan dikendalikan oleh tentera Thailand. Hal ehwal pentadbiran tiap – tiap negeri pula akan dikendalikan oleh pentadbir. Ketua pentadbir pula akan menasihati secara lansung pentadbir tiap – tiap negeri. Pentadbiran tiap – tiap negeri pula akan dikendalikan oleh pegawai tentera. Setiap pegawai tentera boleh memilih cara yang difikirkan sesuai dengan kehendak penduduk tempatan dan keadaan setempat.[28] Kerajaan Thailand juga akan membentuk sistem pembandaran atau municipal system dalam bandar – bandar besar di tiap – tiap negeri.[29] Dalam pentadbiran tentera Thailand yang paling tinggi ialah Pesuruhjaya Tentera atau Khaluang Thaharn Pracham Rath Chamrat.[30] Di samping itu juga, kesan penyerahan pentadbiran tentera Jepun kepada tentera Thailand telah memperlihatkan juga pemgembalian kemudahan anak – anak tempatan. Kerajaan Thailand memberi peluang kepada anak tempatan untuk memerintah negeri dan didapati kesemua pejabat – pejabat kerajaan telah dikuasai oleh pegawai – pegawai Melayu.[31] Misalnya pada 6 Januari 1944, Pejabat Setiausaha Kerajaan yang ditutup semasa pentadbiran tentera Jepun telah dibuka semula selepas penyerahan pentadbiran negeri – negeri Melayu utara kepada kerajaan Thailand.[32] Seterusnya memandangkan keadaan ekonomi yang semakin buruk, kerajaan Thailand telah mengambil langkah – langkah untuk membantu kakitangan untuk meringankan kesusahan hidup mereka. Mulai bulan Mac 1944, kerajaan telah memberi elaun kepada kakitangannya. Pemberian elaun bergantung kepada status seseorang. Bagi kakitangan yang menerima gaji sebanyak $100 sebulan dan ke bawah akan diberi elaun sebanyak $5.00 bagi yang bujang dan $10.00 bagi yang berkeluarga. Bagi kakitangan yang menerima gaji mereka kurang daripada $20 sebulan akan ditingkatkan gaji mereka sampai ke taraf itu.[33] Dengan bantuan kerajaan Thailand ini telah memperlihatkan kesan positif daripada perubahan pentadbiran Jepun kepada Thailand. Selain daripada itu, kesan yang baik yang lain dapat dinyatakan apabila keempat – empat buah negeri Melayu utara dapat menikmati kemudahan makanan dan keperluan asas yang lebih baik. Ini kerana pentadbiran tentera Jepun telah mengakibatkan ramai penduduk di Tanah Melayu hidup dalam kesusahan dan rata – ratanya ditindas dan dizalimi. Apabila tentera Thailand mengambil alih pentadbiran tentera Jepun, kehidupan rakyat agak baik kerana mereka tidak lagi ditindas dan tentera Thailand bukanlah tentera yang kejam. Bagaimanapun kerajaan Thailand turut membuat perubahan seperti mengadakan kelas – kelas bahasa Thai untuk kakitangannya.[34] Tetapi kerajaan Thai tidaklah mengambil tumpuan untuk mensiamkan penduduk tempatan. Selain itu, kerajaan Thai turut menerapkan pentadbiran seperti masa pejabat yang telah disesuaikan dengan keadaan setempat dan bukan lagi mengikut masa Nippon.[35] Pada 19 Oktober 1943, pemerintah tentera Thai turut mengeluarkan arahan supaya bendera Thai dinaikkan di tiap – tiap pejabat kerajaan dari pukul 8.00 pagi sehingga 6.00 petang waktu Thailand.[36] Malahan Sultan – Sultan dibenarkan mengibar bendera negeri masing – masing.[37] Bagaimanapun tidak dinafikan bahawa pemindahan pentadbiran Jepun kepada Thailand turut mendatangkan kesan yang tidak baik terutamanya sedikit sebanyak dari segi pentadbiran. Ini dapat dilihat melalui dasar kerajaan Thailand yang melampau seperti pengharaman amalan poligami dan pentadbiran yang terlalu mengikut corak pentadbiran tentera Thailand. Misalnya masing – masing negeri diwajibkan menyambut hari kebesaran negara Thailand. Kemudiannya pada 28 Disember 1944, pejabat Pesuruhjaya Tentera Thailand mengeluarkan atur cara sambutan tahun baru. Pesuruhjaya tentera meminta supaya semua bangunan pejabat kerajaan, rumah pegawai, perniagaan dan orang ramai mengibarkan bendera Thai selama 3 hari.[38] Ini menjelaskan kepada kita bahawa kerajaan Thailand telah menerapkan budaya pentadbiran mereka ke dalam pentadbiran negeri – negeri Melayu utara yang mana ia wajib untuk diikuti. Di samping itu, tindakan Jepun menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kepada Thailand tidak disukai oleh orang Melayu kerana Jepun telah mencabuli hak orang Melayu. Hak orang Melayu telah diancam.[39] Selain itu, dengan penyerahan keempat – empat buah negeri Melayu itu kepada kerajaan Thailand, maka bilangan penduduk bukan Melayu di Tanah Melayu menjadi kurang dibandingkan dengan penduduk bukan Melayu kerana Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu mempunyai majority penduduk Melayu yang besar. Boleh dikatakan orang Melayu kehilangan kedudukan masyarakat terbesar di Tanah Melayu. Ia juga sebagai pengganti masyarakat Cina adalah majority buat kali pertama yang mengancam hak orang Melayu. Namun demikian orang Melayu pada masa itu tidak mampu untuk menentang penyerahan negeri – negeri Melayu utara ini dengan kekerasan.[40] Oleh yang demikian, kita dapat membuat kesimpulan bahawa perjanjian rahsia antara Jepun dan Thailand yang membawa kepada penyerahan pentadbiran negeri – negeri Melayu utara yang merupakan kunci kepada faktor – faktor penyerahan yang seterusnya. Di samping sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerajaan Jepun kepada kerajaan Thailand yang telah membenarkan tentera Jepun melalui negaranya untuk menyerang Tanah Melayu. Faktor – faktor penyerahan negeri – negeri Melayu utara ini pula telah membawa kepada kesan – kesan yang baik dan tidak baik terutamanya terhadap aspek pentadbiran negeri – negeri Melayu utara walaupun tidaklah secara menyeluruh. Bagaimanapun pentadbiran kerajaan Thailand di Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu berakhir setelah Jepun menyerahkan kalah kepada pihak Berikat. pada 15 Ogos 1945. RUJUKAN Muda Mohd Taib Hj Rahman, Pendudukan Jepun di Terengganu, Khoo Kay Kim (editor), Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur : Jabatan Penerbitan Universiti Malaya, 1985. Zainal Abidin Abdul Wahid, Malaysia : Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 1996. SUK, Tr., 51 / 2603, Pemberitahuan Khas Kerajaan Terengganu, Bilangan 12, 7 Haribulan 7 Tahun 2603. Abdullah Zakaria Ghazali, Pentadbiran Jepun dan Thai di Terengganu 1942 – 1945, Kuala Lumpur : Penerbitan Universiti Malaya, 1996. Mohd Isa Othman, Politik Tradisional Kedah 1851 – 1942, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990. Mohd Isa Othman, Pendudukan Jepun Di Tanah Melayu ( Tumpuan Di Negeri Kedah ), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992. Nik Anuar bin Nik Mahmud, Kelantan dibawah Pentadbiran Tentera Jepun dan Pentadbiran Tentera Thai, 1941 – 1945 : Satu Kajian Sepintas Lalu, dalam Malaysia : Sejarah dan Proses Pembangunan, Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia, 1978. Oong Hak Ching, Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia Dari Segi Sejarah,Bilangan 24, 1996. [1] Oong Hak Ching, Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia dari segi Sejarah, Bilangan 24, 1996, hlm 104. [2] Ibid., hlm 105. [3] Ibid. [4] Ibid. [5] Muda Mohd Taib Hj Rahman, Pendudukan Jepun di Terengganu, Khoo Kay Kim ( editor ), Masyarakat Melayu Moden, Kuala Lumpur : Jabatan Penerbitan Universiti Malaya, 1985, hlm 182. [6] Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Malaysia : Warisan dan Perkembangan, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, , 1996, hlm 190. [7] Ibid. [8] Ibid. [9] Ibid., hlm 190 dan 191. [10] Ibid., hlm 255. [11] Oong Hak Ching, Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia dari segi sejarah, hlm 104. [12] SUK, Tr., 51/ 2603, Pemberitahu Khas Kerajaan Terengganu, Bilangan 12, 7 haribulan 7 tahun 2603. [13] Oong Hak Ching, Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia dari segi Sejarah, hlm 106. [14] Abdullah Zakaria Ghazali, Pentadbiran Jepun dan Thai di Terengganu 1942 – 1945, Kuala Lumpur : Penerbitan Universiti Malaya, 1996, hlm 78. [15] Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Malaysia : Warisan dan Perkembangan, hlm 263. [16]Oong Hak Ching, Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia dari segi Sejarah, hlm 105. [17] Ibid. [18] Mohd Isa Othman, Politik Tradisonal Kedah 1851 – 1942, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990, hlm49. [19] Oong Hak Ching, Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia dari segi sejarah, hlm 107. [20] Ibid. [21] Ibid. [22] Ibid. [23] Mohd Isa Othman, Pendudukan Jepun di Tanah Melayu ( Tumpuan di Negeri Kedah ), Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 1992, hlm 50. [24] Oong Hak Ching, Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia dari segi sejarah, hlm 111. [25] Ibid., hlm 113. [26] Nik Anuar bin Nik Mahmud, Kelantan dibawah Pentadbiran Tentera Jepun dan Pentadbiran Tentera Thai, 1941 – 1945 : Satu Kajian Sepintas Lalu dalam Malaysia : Sejarah dan Proses Pembangunan, Kuala Lumpur : Persatuan Sejarah Malaysia, 1978, hlm 254. [27] Ibid. [28] Oong Hak Ching , Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia dari segi sejarah, hlm 108. [29] Ibid., hlm 113. [30] Nik Anuar bin Nik Mahmud, Kelantan dibawah Pentadbiran Tentera Jepun dan Pentadbiran Tentera Thai, 1941 – 1945, hlm 254. [31] Ibid., hlm 256. [32] Ibid. [33] Ibid., hlm 257. [34] Ibid. [35] Ibid. [36] Oong Hak Ching, Hubungan dan Pentadbiran, Malaysia dari segi sejarah, hlm 109. [37] Ibid., hlm 111. [38] Ibid., hlm 114. [39] Zainal Abidin bin Abdul Wahid, Malaysia : Warisan dan Perkembangan, hlm 258. [40] Ibid.

0 comments: